Friday, August 20, 2010

MCMC siasat stesen 98.8:
CEO, Pengarah Program digantung jawatan

MerdekaReview | Aug 20, 2010 03:18:08 pm

Star Rfm Sdn. Bhd mengambil langkah selanjutnya untuk menggantung (suspend) jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO 98.8) Wong Lai Ngo, dan Pengarah Program (Director of Programming 98.8) Tan Chia Yong, selepas suara pengacaranya, Jamaluddin Ibrahim disekat daripada ke ruang udara, semalam.

Di samping itu, kelangsungan rancangan call-in "Say Hi to Malaysia" menjadi tanda soal apabila Pengerusi Star RFM Sdn Bhd, Linda Ngiam (gambar kiri) mengumumkan bahawa rancangan ini akan membatalkan sesi "perbincangan hal ehwal semasa", dan digantikan dengan penyiaran muzik dan laporan buletin, buat sementara ini.

Malah, Linda Ngiam mengesahkan bahawa stesen radio 98.8 disiasat oleh pegawai Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) yang melawat ke stesen 98.8 pagi ini, ekoran daripada aduan bahawa rancangan "Say Hi to Malaysia" telah mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan "bias".

Linda Ngiam menambah, pihak pengurusan dan penerbitan memandang serius terhadap aduan tersebut. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ia sekadar masalah "pentadbiran dalaman", dan menafikan campur tangan MCA dalam hal ini. Beliau juga berkata, siasatan dalaman akan dijalankan oleh pihak syarikat terhadap rancangan dan penerbit rancangan berkenaan.

Pengacara terlibat juga "dihentikan"

Dua orang pengacara rancangan call-in "Say Hi to Malaysia", Wong Chew Yat dan Joe Liaw telah mendedahkan khabar bahawa Jamaluddin Ibrahim terpaksa "mengambil cuti", sambil memberi isyarat secara tersirat bahawa mereka berdepan dengan tekanan daripada pihak berkuasa, semalam.

Apa yang menyusul kemudiannya adalah, kedua-dua penyandang jawatan tinggi 98.8, CEO-nya Wong Lai Ngo (gambar kanan) dan Pengarah Program 98.8, Tan Chia Yong menerima surat daripada Star Rfm Sdn. Bhd, pada petang semalam. Surat tersebut memaklumkan bahawa jawatan mereka telah digantung sehingga satu tarikh yang diberitahu.

Sementara itu, selain Jamaluddin, tiga orang pengacara yang terlibat dalam rancangan tersebut, termasuk Joe Liaw, Wong Chew Yat dan Mah Jiann Min juga dimaklumkan bahawa mereka tidak perlu ke udara pada hari ini. Lantaran daripada itu, rancangan call-in yang membincangkan isu semasa pada kebiasaannya, telah berubah apabila artis seperti Fish Leong diundang ke rancangan pagi ini.

Malah, laman Facebook pengacara (DJ) 98.8 juga ditutup pada awal pagi ini, selepas dibanjiri mesej yang ditinggalkan oleh peminat stesen 98.8.

Reaksi yang berbeza

Selepas pengumuman "pengambilan cuti" Jamaluddin Ibrahim, kira-kira 4000 sms telah membanjiri stesen 98.8, sehingga tengah hari, semalam. Malah, peminat untuk pengacara yang terlibat, juga meninggalkan mesej di laman Facebook masing-masing, menyatakan protes terhadap pencabulan kebebasan bersuara.

Misalnya, bilangan fans Jamaluddin Ibrahim (gambar kiri) melonjak secara mendadak berikutan kejadian tersebut, malah pengguna Facebook telah menubuhkan beberapa kumpulan untuk menyatakan sokongan terhadap Jamaluddin Ibrahim, di samping membantah campur tangan politik ke dalam media. Peristiwa ini telah menjadi antara isu yang paling hangat diperbincangkan di ruang internet sejak semalam.

Ironinya, media cetak arus perdana yang dikuasai tycoon Tiong Hiew King melalui Media Chinese International Limited memberi liputan yang agak kecil kepada isu ini. Bagaimanapun, Oriental Daily dan Kwong Wah Yit Poh memaparkan isu ini di muka surat depannya.

Lebih menarik, MCA yang memiliki stesen radio ini masih mendiamkan diri sehingga kini. Selain daripada pemimpin DAP dan Gerakan, pemimpin MCA yang tidak mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan barisan pengacara rancangan "Say Hi to Malaysia".

Keadaan ini mencungkil kritikan daripada sesetengah pihak, yang menyasarkan MCA dan Barisan Nasional kerana tidak mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang dijanjikan.

No comments:

Post a Comment

All slanderous comments will be deleted .Comments that include personal attacks, and antisocial behaviour such as spamming and trolling; will be removed. You are fully responsible for the content you post. Please be responsible and stay on topic.